Make your own free website on Tripod.com
 
 
  bicara agama

Ibadat mana paling utama?
Oleh: Dr. Yusuf al-Qaradawi (Dipetik daripada kitab Fiqh al-Aulawiyyat)
SETIAP manusia diamanahkan oleh Allah untuk sentiasa beribadat kepada-Nya, namun persoalannya ibadat manakah yang lebih utama?

Para ulama berbeza pendapat mengenai ibadat manakah yang lebih utama dan pendapat ini terbahagi kepada empat bahagian.

Ada golongan mengatakan ibadat yang paling bermanfaat dan mulia ialah ibadat yang paling berat dilakukan dan susah dirasakan di jiwa.

Ada pula yang berpendapat ibadat yang terbaik adalah ibadat yang sunyi daripada kepentingan diri dan zuhud terhadap kepentingan duniawi.

Ada pula yang mengatakan ibadat yang paling utama ialah ibadat yang banyak manfaatnya kepada orang ramai.

Kesemua pendapat ini adalah berdasarkan kepada hujah-hujah daripada hadis-hadis Nabi s.a.w.

Namun, Dr. Yusuf al-Qaradawi bersetuju dengan pendapat keempat yang dikemukakan oleh Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah iaitu ibadat itu berbeza-beza keutamaannya mengikut tempat, masa, individu dan keadaan.

Menurut pendapat keempat, ibadat yang paling utama ialah berbuat amal kebaikan semata-mata untuk mencapai keredhaan Allah di setiap masa, sesuai dengan waktu dan situasinya.

Misalnya, amal ibadat yang paling utama ketika berlangsungnya jihad adalah jihad, meskipun perkara itu menyebabkan kita meninggalkan wirid, solat malam, puasa sunat, hatta daripada melakukan solat fardu dengan cara sempurna.

Ketika kedatangan tetamu, pekerjaan yang paling utama ialah melayani mereka dan meninggalkan wirid sunat; sama halnya dengan melayani hak-hak isteri dan keluarga.

Perbuatan yang paling utama pada waktu sahar (akhir malam) ialah mendirikan solat sunat, membaca al-Quran, membaca wirid, berzikir dan beristighfar.

Langkah yang paling utama ketika datang masa mengajar ialah keluar memberi pengajaran kepada murid atau orang ramai serta memberi tunjuk ajar kepada mereka yang masih jahil.

Amal terbaik ketika mendengar azan ialah keluar ke masjid untuk menyahut seruan tersebut dan meninggalkan wirid buat sementara waktu.

Perbuatan yang paling baik ketika datang solat fardu ialah bersungguh-sungguh menunaikannya dengan cara yang paling sempurna dan pergi ke masjid untuk berjemaah. Semakin jauh jarak masjid yang ditempuh semakin tinggi keutamaannya.

Perkara yang paling utama ketika sedang membaca al-Quran ialah berusaha bersungguh-sungguh memberi tumpuan sepenuh hati untuk memahami maksud dan makna yang terkandung di dalam kitab itu.

Ini dilakukan sehingga kita merasakan bahawa Allah sedang berbincang secara langsung dengan kita, lalu berazam untuk melaksanakan perintah-perintah-Nya, lebih daripada orang yang menerima sepucuk surat daripada seorang raja.

Amalan yang terbaik pada sepuluh hari akhir bulan Ramadan ialah memperbanyak diri berada di masjid untuk berzikir serta iktikaf di dalamnya, bukan bercampur gaul dengan manusia yang sibuk dengan urusan mereka.

Malah, mengikut pendapat sesetengah ulama, perkara ini lebih utama daripada mengajar ilmu dan mengajar mereka membaca al-Quran.

Yang paling utama pada hari kesepuluh Zulhijjah adalah memperbanyakkan ibadat terutama takbir, tahmid dan tahlil.

Perbuatan yang paling utama pada saat-saat saudara seagama sakit atau meninggal dunia ialah menziarahi dan memberi takziah kepada ahli-ahli keluarga serta menghantar jenazahnya ke tanah perkuburan.

Amal yang terbaik ketika musibah menimpa orang ramai ialah bersikap sabar sambil terus bersama mereka melakukan usaha-usaha pertolongan sekadar yang mampu, bukannya lari meninggalkan mereka.

Ini kerana seorang Mukmin yang bercampur dengan orang ramai dengan penuh kesabaran melayan kerenah mereka adalah lebih utama di sisi Allah daripada mereka yang tidak bercampur dan bersabar dengan kerenah mereka.

Bercampur dengan orang ramai dalam kebaikan adalah lebih baik daripada mengasingkan diri, sedangkan dalam perkara jahat lebih utama menjauhkan diri daripada mereka. Tetapi apabila mampu mencegah dan menyeru mereka kepada kebaikan, maka bercampur adalah lebih utama daripada mengasingkan diri.

Kesimpulannya, perkara yang terbaik daripada semua itu adalah sentiasa mencari keredhaan Allah pada setiap masa dan keadaan serta menyibukkan diri dengan segala kewajipan dan fardu yang sesuai dengan waktu dan keadaan semasa.

Merekalah sebenarnya ahli ibadat yang mutlak. Mereka laksana curahan hujan, di mana saja ia turun akan memberikan manfaat. Mereka bersikap tegas dan keras terhadap orang-orang yang melanggar larangan Allah.

Mereka akan marah sekiranya agama dipermainkan. Dirinya untuk Allah, perjuangan kerana Allah dan sentiasa bersama-sama-Nya.

Firman Allah, maksudnya: ``Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan redha dan diredhai. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.''

 
 

 
 

Salam Online
 

 
 
 
 
--------------------------------------------------------------------------------
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my